Tuesday 10 April 2012

Tumbuhan Penyebab Penyakit


 
Tumbuh-Tumbuhan Penyebab Dermatitis
  Oleh: Che Nin Man

Sumber: Dewan Kosmik - Januari, 2003
   
 

Negara kita kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau sepanjang tahun. Pelbagai tumbuh-tumbuhan telah digunakan dalam amalan perubatan tradisional sama ada di kalangan masyarakat Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Dewasa ini orang ramai telah mula cenderung untuk mengamalkan perubatan menggunakan tumbuhan sebagai alternatif kepada perubatan moden. Di antara tumbuh-tumbuhan tersebut ada yang telah di komersialkan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Namun demikian terdapat juga banyak tumbuh-tumbuhan beracun di negara kita, di antaranya ialah Cempaka Hutan, Beridin, Dokong Anak, Jarak, Kechubong, Hempedu Bumi dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan beracun ini mampu memberi kesan keracunan melalui sentuhan, terhidu atau termakan.

Dermatitis adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan keradangan pada kulit. Terdapat beberapa jenis dermatitis yang boleh disabitkan dengan pendedahan kepada tumbuh-tumbuhan. Ada di antara dermatitis ini boleh memberi kesan sistemik dan biasanya mengambil masa antara satu hingga tiga minggu untuk sembuh. Berikut adalah jenis-jenis dermatitis akibat pendedahan tersebut:

1. Kesan Alahan 

Kesan alahan  berlaku apabila seseorang individu itu sensitif kepada sesuatu jenis alergen seperti debu, debunga atau bahan kimia tertentu di dalam tumbuh-tumbuhan. Kesan ini dikenali melalui kewujudan tompokan merah, gatal, keras dan melepuh pada kulit. Biasanya kesan ini timbul setelah lima hingga tujuh hari dari hari sentuhan berlaku. Kesan alahan ini akan timbul semula apabila sentuhan terhadap tumbuh-tumbuhan tertentu berlaku. Kesan alahan dapat dikenal pasti melalui ujian alahan. Contoh tumbuh-tumbuhan yang menyebabkan kesan alahan jenis ini ialah bawang putih atau Alium sativum yang mengandungi S -2-propenil-L-sulfoksida sistina, atau juga dikenali sebagai alliin yang menghasilkan minyak bersulfida seperti di-alil-disulfida yang merupakan allergen utama di dalam bawang putih.

Lain-lain tumbuhan yang menyebabkan alahan biasanya adalah dari famili Compositae, Magnoliaceae, Amaranthaceae, Alliaceae dan lain-lain.

2. Keradangan Kimia atau Perengsa  

Keradangan kimia ialah kesan langsung bahan kimia yang terdapat di dalam tumbuh-tumbuhan. Ia dikenali melalui tanda kemerahan, sakit, rasa seperti terbakar, bengkak, gatal, lebam dan lecur pada kulit yang wujud dalam tempoh 24 jam setelah tersentuh. Tumbuh-tumbuhan yang terlibat biasanya dari famili Euphorbiaceae, Brassicaceae, Ranunculaceae, Anacardiaceae, Agavaceae dan Araceae. Bahan kimia ini selalunya berada di dalam getah, cecair tumbuh-tumbuhan, sel atau kelenjar dalam tumbuh-tumbuhan. Di antara bahan kimia yang boleh menyebabkan keradangan ini ialah  asid oksalik, kalsium oksalat, sinamik aldehid, koniferil benzoat, sitral, delta-3-karena, asid abetik, kostunolid, atranorin, histamine, asetilkolin, 5-hidroksitriptamina dan lain-lain.

3. Fotodermatitis  

Fotodermatitis menyebabkan kulit seseorang menjadi sensitif kepada cahaya setelah tersentuh tumbuh-tumbuhan tertentu. Di antara kesan fotodermatitis ialah gatal, kemerahan, bengkak, melepuh dan hiperpigmentasi atau perubahan warna kulit. Contohnya,  psoralens yang terdapat di dalam limau nipis akan menunjukkan kesan toksik pada cahaya matahari setelah beberapa jam dari masa sentuhan berlaku.

4. Kecederaan Mekanikal 

Kecederaan ini biasanya berlaku akibat tercucuk duri, gerigi, jejarum, bulu sisik atau bahagian tajam pada tumbuh-tumbuhan dan seterusnya merebak melalui jangkitan bakteria atau kulat. Biasanya tumbuh-tumbuhan yang mampu menyebabkan kecederaan jenis ini adalah dari famili Cactaceae (kaktus), Palmae (palma), Acanthaceae, Agavaceae dan Euphorbia L.

 5. Rawatan   
  • Jauhi dari tumbuh-tumbuhan tersebut. Buangkan duri atau sisa tumbuh-tumbuhan pada kulit.   
  • Tanggalkan pakaian yang meliputi bahagian yang luka.   
  • Basuh kawasan sentuhan dengan air dan sabun.   
  • Jika masih terasa sakit dapatkan rawatan perubatan. Rawatan biasanya melibatkan ubat sapuan jenis kortikosteroid dan ubat yang diambil secara oral iaitu antihistamin.    
  • Kesan alahan dan fotodermatitis hanya wujud setelah beberapa hari, oleh itu cara terbaik adalah dengan mengelak diri dari tumbuh-tumbuhan yang memudaratkan.
Cara Pencegahan
  • Mengenali tumbuh-tumbuhan yang berbahaya dan tidak berbahaya di sekitar kawasan rumah.
  • Jangan menanam tumbuh-tumbuhan yang diketahui beracun sebagai perhiasan rumah
  • Mengajar kanak-kanak tentang tumbuh-tumbuhan beracun yang terdapat di sekitar rumah dan di kawasan mereka sering bermain,.dan melarang mereka bermain dengan  tumbuh-tumbuhan tersebut.
  • Jangan membakar tumbuh-tumbuhan beracun kerana asapnya mungkin berbahaya.

Contoh tumbuh-tumbuhan di Malaysia yang boleh menyebabkan dermatitis

Nama Melayu
Nama Saintifik
Bahagian pokok
Kandungan kimia
Mekanisma keracunan
Kelumpang Telur
Agave augustifolia
Daun
Agavoside A, Asid Oksalik
Getah dan duri boleh menyebabkan kecederaan mekanikal dan keradangan kimia
Keladi Seberang, Birah Negeri
Alocasia macrorrhiza
Bunga dan tangkai daun
Hablur kalsium oksalat
Getah menyebabkan keradangan kimia
Bunga Akar kuning, Bunga Cempaka Hutan
Allamanda cathartica
Semua bahagian
Allamandin
Getah menyebabkan keradangan kimia
Tepus
Alpinia purpurata
Semua bahagian
Asid sinamik
Kesan alahan
Gajus
Anacardium occidentale
Semua bahagian
Asid anakardik, bilobol, kardol, anakardol, metal kardanol
Keradangan kimia. Asap pembakaran kekacang atau tempurung nya boleh juga menyebabkan dermatitis.
Nenas
Ananas comosus
Getah dan duri pada daun
Bromelain,ergosterol peroksida,5-stigmastene-3b,7a-diol, b-sitosterol, kampesterol,stigmastnaol dan kampestanol.
Kesan alahan dan kecederaan mekanikal.
Bunga Flamingo
Anthurium andreanum
Tangkai dan daun
Kalsium oksalat
Keradangan kimia
Cili
Capsicum annum
Buah
Kapsaicin
Kesan alahan dan keradangan kimia
Beridin, Tukus, Dudok
Caryota mitis
Daun dan buah
Kalsium oksalat
Keradangan kimia
Kayu Manis Hutan
Cinnamomum iners
Semua bahagian
Asid sinamik, carpacin
Kesan alahan
Limau nipis, limau kesturi
Citrus spp.
Buah dan daun
Katekol, naringin, limonin,limonene, nomilin, bergamottin, tangeretin
Kesan alahan
Keladi
Colocasia esculentum
Daun dan ubi
Kalsium oksalat
Keradangan kimia
Pisang Tanah
Dieffenbachia spp.
Tangkai dan daun
Asid oksalik, kalsium oksalat, enzim proteolitik yang tidak di ketahui.
Kecederaan mekanikal dari hablur kalsium oksalat dan keradangan kimia
Pokok Duit
Epipremnum aureum
Daun
Hablur kalsium oksalat
Keradangan kimia
‘Crown of thorn’
Euphorbia milii
Tangkai dan daun
Milliamine L (sejenis ingenol esters)
Keradangan kimia dari getah sepsis ini menyebabkan ruam dan lecur selama beberapa hari.
Jarak Belanda, Jarak Pagar
Jatropha curcas
biji
Curcin, asid gliserid, 12-deoksi-16-hidroksiforbol ester
Getah menyebabkan keradangan kimia atau alahan
Mangga
Mangifera indica
Semua bahagian terutama kulit buah
Resorcinol, bebrapa jenis flavonoid, saponin, steroid, terpenoid dan bahan resin seperti yang terdapat dalam pohon ivy beracun
Keradangan kimia
Chiku
Manilkara zapota
Daun dan buah muda
Saponin
Kesan alahan
Pokok Lipan
Pedilanthus tithymaloides
Tangkai dan daun
Eupharbol
Kesan alahan
Setkrisia unggu
Setcreasea purpurea
Tangkai dan daun
Kalsium oksalat
Keradangan kimia menyebabkan ruam yang menyakitkan yang terjadi dengan serta merta.
Kelempayan, Kelembahang
Scindapsus aureus
Tangkai dan daun
Kalsium oksalat
Keradangan kimia
Pokok Sesudu
Euphorbia lactea
Semua bahagian
Ingenol esters
Getah menyebabkan keradangan kimia
Tentulang, Patah Tulang
Euphorbia tirucalli
Daun
Ingenol dan 4-deoxyphorbol esters
Getah menyebabkan keradangan kimia
Pokok Jelatang
Laportea spp
Keseluruhan pokok
Asid formik dan asid hidroklorik
Bulu tajam yang menyucuk dan membebaskan toksin apabila tersentuh dan menyebabkan rasa gatal dan terbakar pada kulit.
Jelatang Rusa
Cnesmone javanica    
Keseluruhan pokok
Tidak di ketahui
Bulu yang tajam menyebabkan dermatitis.
Bebuta atau Buta buta
Excoecaria agellocha
Keseluruhan pokok
Piscicidal daphnane polyol orthoester
Getah menyebabkan keradangan kimia.
Rengas
Melanochyla fulvinervis
Batang
Phorbol
Kesan alahan
Lenga
Sesamum indicum
Keseluruhan
Sesamin, sesamolin
Kesan alahan
                            

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...